Pantang Larang Silat Cekak

Assalamualaikum semua!

Sebelum sesiapa ingin mempelajari Silat Cekak ini, mereka perlu melalui Majlis Ijazah Peringkat Pertama (Asas). Dalam majlis ini, penuntut baru akan diperkenalkan dengan pantang larang yang terdapat dalam Silat Cekak. Jangan risau, pantang larang dalam Silat Cekak tidak melibatkan perkara-perkara yang luar biasa.

Pantang Larang Silat Cekak

Pantang Larang Silat Cekak:

  1. Jangan derhaka kepada guru
  2. Jangan derhaka kepada ibu
  3. Jangan derhaka kepada bapa
  4. Jangan bergaduh sesama ahli
  5. Tidak mencaci seni silat Melayu asli yang lain

Sekilas pandang, nampak Alhamdulillah, prinsip agama Islam ada diterapkan dalam pantang larang Silat Cekak. Jadi, mari kita pergi ke setiap maksud pantang larang tersebut.

1. Jangan derhaka kepada guru

Kadang-kala akan ada penuntut baru yang berasa hairan. Mengapa kedudukan guru dahulu sebelum ibu dan bapa? Mudah sahaja sebenarnya. Sewaktu kita lahir dahulu, siapakah guru kita yang pertama? Semestinya adalah ibu dan bapa kita sendiri. Merekalah yang mengajar kita bagaimana untuk makan, minum, mandi, dan sebagainya. Tanpa guru pertama kita ini, mana mungkin kita ingin meneruskan hidup sampai masa kini?

Secara mudahnya, guru adalah aset penting bagi kita sebagai penuntut Silat Cekak, dan guru juga tidak terhad kepada Guru Utama atau jurulatih, tetapi kepada semua guru yang kita ada. Maka, hormatilah dan jangan derhaka kepada guru-guru kita yang bersusah-payah mencurahkan ilmu kepada kita.

2. Jangan derhaka kepada ibu 3. dan bapa

Pantang larang kedua dan ketiga sudah agak terang isinya. Tapi bagi admin ulas sedikit untuk setiap pantang larang ini. Hadith riwayat Al-Hakim dan lain-lain menyatakan bahawa “Tetaplah bersamanya (ibu) kerana sesungguhnya syurga itu dibawah kedua kakinya”, dan hal ini tidak berubah untuk lelaki mahupun perempuan walaupun selepas berkahwin.

Dengan hadis yang baru dinyatakan pada pantang larang kedua, janganlah pula kita tidak berbuat baik kepada bapa. Bapalah merupakan insan yang menjaga makan minum kita, menyediakan tempat tinggal untuk kita, dan juga menjaga dan melindungi kita. Dalam keadaan biasa, banyak dan tidak terkira jasa kedua ibu bapa kepada kita, daripada mula kita diciptakan dalam perut si ibu, sehinggalah sekarang. Maka janganlah antara penuntut menderhaka terhadap ibu dan bapanya jikalau mereka masih hidup. Jikalau sudah meninggal dunia, maka doakanlah untuk mereka yakni doa anak yang soleh boleh sampai kepada mereka.

4. Jangan bergaduh sesama ahli

Peribahasa “bersatu teguh, bercerai roboh” memainkan peranan penting dalam pantang larang ini. Perkara ini menyatakan bahawa sesama Silat Cekak, janganlah kita bergaduh, kerana walaupun jika salah seorang daripada ahli menang, adakah kemenangannya itu betul-betul boleh dikatakan menang? Tambahan pula, dalam matapelajaran Silat Cekak, akan terdapat pelajaran 6 tolak 6, di mana prinsip yang ditekankan dalam pelajaran tersebut adalah jika Silat Cekak bertemu Silat Cekak, maka tiada siapa yang akan menang atau kalah, dan hasilnya akan menjadi seri.

5. Tidak mencaci seni silat Melayu asli yang lain

Walaupun namanya seni pertahankan diri ini sebagai Silat Cekak, pada dasarnya Silat Cekak ini merupakan suatu jenis silat. Terdapat banyak lagi seni silat Melayu asli di Malaysia, dan sebagai kaum Melayu, marilah kita sama-sama memartabatkan seni warisan bangsa kita. Ini bukanlah untuk mengatakan bahawa seni silat Melayu lebih hebat daripada seni silat daripada luar negara, tetapi ingin ditekankan bahawa seni silat daripada luar negara tampak hebat dan bermakna kerana mendapat sokongan daripada bangsa mereka sendiri dahulu pada awalnya. Jika seni silat juga mendapatkan sokongan yang sama, maka silat juga akan berada pada tahap yang sama.

Berbalik kepada pantang larang kelima, Silat Cekak merupakan sebuah silat, dan silat-silat Melayu asli merupakan salah satu seni pertahanan diri yang diiktiraf secara antarabangsa, dan merupakan antara yang berbahaya dan efektif untuk digunakan bagi mempertahankan diri, setanding dengan seni bela diri seperti Taekwondo, Karate, Judo, dan macam-macam lagi. Jadi, tiada sebab untuk kita mencaci silat Melayu asli. Juga tiada sebab untuk kita banding-bandingkan silat kita dengan silat lain, kerana matlamat utama mempelajari silat adalah untuk mempertahankan diri, dan bukannya untuk menyerang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *