Silat Cekak Hanafi Sebagai Alat Mengasah Kecerdasan

Assalamualaikum semua!

Di sekolah rendah kita diajar ilmu matematik, di sekolah menengah pula, kita diajar untuk berfikir dengan lebih kritikal. Naik pula di institusi pengajian tinggi, kita akan belajar dan dilatih tentang hubungan dalam sistem dan untuk mendalami sesuatu perkara secara holistik. Dalam mempelajari silat, kita juga diajar dan dilatih untuk berfikiran kritis dan juga menilai , justeru dapat meningkatkan kecerdasan kita. Tetapi dalam cara biasa silat, kita mesti berhati-hati mengira pergerakan lawan dan bertindak balas terhadap serangan pihak lawan dengan cepat dan tepat. Kerana jika kita terlambat sedikit, ia akan membawa kesan buruk kepada kita.

Persamaan Pembelajaran Bidang Akademik dan Seni Mempertahankan Diri

Terdapat beberapa persamaan antara hasil pembelajaran bidang akademik dan hasil belajar seni mempertahankan diri. Dalam bidang akademik, pelajar akan diajar dulu perkara yang mudah dan asas supaya mereka dapat menangkap apa yang diajarkan oleh guru mereka. Sama juga dalam Silat Cekak Hanafi, kita mempunyai silibus mata pelajaran sendiri supaya setiap waktu kelas, pelajar akan mempelajari ilmu mengikut tertib supaya lebih mudah difahami. Ini termasuklah kaedah-kaedah, cara mengambil serangan, dan buah-buah yang telah disusun atur dengan cermat kerana Silat Cekak Hanafi inginkan pengamalnya untuk tidak mensia-siakan pergerakan, justeru hanya membuat pergerakan yang perlu sahaja supaya buah-buah dapat dilakukan dengan efektif serta efisien.

Aplikasi Ilmu Akademik Dalam Silat Cekak Hanafi

Selain itu, terdapat beberapa perkara dalam matematik dan sains yang telah diaplikasikan dalam ilmu Silat Cekak Hanafi. Sebagai contoh, antara kelebihan Silat Cekak Hanafi adalah ianya sesuai untuk dipraktikkan oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor fizikal mereka (asalkan sihat tubuh badan). Jadi, bagaimana caranya jika seseorang yang bersaiz kecil ingin menjatuhkan lawan yang jauh lebih besar? Jawapannya adalah dengan menggunakan prinsip Archimedes; dengan mengaplikasikan prinsip ini yang berteraskan fulkrum, tuil, dan juga pemberat, maka senang sahaja bagi pengamal Silat Cekak Hanafi untuk menjatuhkan musuh.

Dengan adanya persamaan ketara dalam pembelajaran Silat Cekak Hanafi dan juga cara pembelajaran akademik, maka akan terlatihlah kecerdasan pengamal Silat Cekak Hanafi selagi mereka meneruskan latihan pembelajaran.

Silat Cekak Hanafi Sebagai Alat Mengasah Kecerdasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *