Mengapa Belajar Silat?

Assalamualaikum semua!

Hari ini admin nak bincangkan sedikit topik yang agak menarik bagi admin lah.

Mengapa belajar silat?

Apakah mempelajari silat itu satu kemestian? Mengapa mesti silat? Mengapa bukan yang lain? Apakah mempelajari silat dapat membantu anda daripada bahaya dan malapetaka? Berikan sebab-sebab mengapa saya perlu mempelajari silat? Adakah terdapat sebab-sebab lain selain daripada mempertahankan diri?

mengapa belajar silat

Sebab 1 – Silat Warisan Negara.

Silat itu adalah warisan bangsa MALAYSIA. Maka adalah wajar sekiranya mempelajari Silat didahulukan dibandingkan yang lain. Seperti slogan yang sering dilaungkan oleh para pemimpin negara ‘Gunakan barang buatan Malaysia’ iaitu mendahulukan barang negara sendiri berbanding yang lain. Soal boleh tidak mempelajari seni beladiri lain adalah soal kedua. Mendahulukan barang kita dahulu berbanding yang lain adalah satu sikap yang mulia sebagai rakyat negara Malaysia.

Sebab 2 – Silat itu Beladiri.

Mempelajari silat akan membantu anda mengenai pelbagai perkara yang terkandung dalam seni mempertahankan diri. Anda akan mempelajari disiplin bersilat serta nilai-nilai murni yang terdapat dalam Sikap Pendekar itu sendiri. Anda berpeluang mempelajari selok belok mempertahankan diri dari segi fizikal dan mental. Pengetahuan menilai sesuatu keadaan mendesak akan dilatih dalam mengelakkan pergaduhan dan pertelingkahan. Malang tidak berbau – dan kita tidak akan mengetahui bila kita akan diuji tetapi ilmu pengetahuan menilai sesuatu sebab dan akibat itu amat berguna dalam diri seorang Pendekar itu.

Sebab 3 – Silat Cegah Jenayah.

Statistik menunjukkan bahawa mereka yang tidak mempelajari seni beladiri menerima kesan negatif lebih besar jika menjadi mangsa-mangsa jenayah di Malaysia. Antara jenayah berat yang sering berlaku adalah seperti rogol, ragut, rompak, samun, bunuh dan lain-lain. Silat melatih anda untuk menghadapi situasi-situasi sebegini. Perkara pertama yang perlu diambil perhatian ialah bagaimana untuk mengelak daripada diragut atau dirogol. Jadi ilmu pengetahuan inilah yang akan anda pelajari apabila mempelajari bersilat. Di samping itu juga aktiviti silat membantu mengikis segala penularan gejala negaif di kalangan pengamal silat itu sendiri seperti dadah, seks bebas, vandalisme dan sebagainya. Falsafah dan Sikap Pendekar silat mengajar mengasihi diri dalam erti kehidupan dunia dan akhirat.

Sebab 4 – Silat adalah Sihat.

Mempelajari silat akan memperbaiki tahap kehidupan anda. Senam Silat akan membantu memperbaiki kelembutan dan kelenturan tubuh badan anda. Di samping itu juga anda akan memperbaiki tahap kardiovaskular jantung anda. Silat membantu dalam segala aspek kesihatan sama ada kekuatan mahupun kelembutan tubuh badan.

Sebab 5 – Silat Melatih Bijaksana.

Silat melatih pengamalnya bertindak bijaksana dalam apa sahaja keadaannya. Tidak kira dalam keadaan aman mahupun terdesak sikap ini adalah amat penting dalam menentukan hala tuju arah kehidupan pengamalnya itu sendiri. Silat melatih para pengamalnya untuk mempertingkatkan martabat diri dan pemikiran melalui pengamalan-pengamalan hidup yang sihat dan positif. Secara tidak langsung ini akan mempengaruhi minda seseorang pengamalnya dalam apa sahaja bidang yang diceburinya.

Jadi, dengan perkongsian admin serba sedikit ini, harapnya dapatlah menjawab persoalan anak muda zaman sekarang tentang “mengapa belajar silat?” berbanding dengan seni bela diri lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published.